AKTIVITI [APP] SEPANJANG 2010

BENGKEL PENULISAN ARTIKAL AKHBAR DAN MAJLAH [kali ke3]
Pada : 24 April 2010 /Sabtu /8:30 pagi-6:00 ptg

Tempat : Hotel VISTANA , K.Lumpur.
Bayaran Penyertaan RM270 /peserta


JADUAL BENGKEL/KURSUS UNTUK 2010
1) 30hb.Jan.2010 > BENGKEL PENULISAN SEHARI siri(1) (BIOGRAFI DAN UMUM)
2) 10hb.Feb.2010> BENGKEL PENULISAN UNTUK JABATAN PERTANIAN
3) 5,6,7hb.march 2010 >BENGKEL[3H2M] PENULISAN BUKU UMUM, BIOGRAFI, RENCANA AKHBAR DAN MAJALAH

4) 27 hb.March 2010 > BENGKEL PENULISAN siri(2)

Sunday, March 7, 2010

FIKIR - FIKIR


ANAK BAPA

Oleh: Mokhtar Petah

[Cerita ini saya telah padankan dari cerita mulut orang tua-tua Arab di Madinah dan Mekah. Cerita orang alim dan anaknya, juga alim, telah mengabdikan diri masing-masing kepada Allah dan berbakti kepada manusia dengan jalan memperdaya manusia.]

Pada zaman silam, di suatu tempat sekitar Yaman, San’a dan Hadharamaut ada sebuah masjid besar di tengah kawasan pesantren – pondok-pondok tempat tinggal para penuntut ilmu tasawuf dan tarekat.

Masjid dan pesantren itu dibina oleh seorang mualim yang warak, Sheikh Bulbul Yamani, dengan wang yang diderma atau ‘sumbangan amal jariah’ oleh para pedagang dan pengembara yang berulang alik melalui jalan darat, dari Adan dan sekitar kawasan tepi muara Laut Merah, ke kawasan Hudhayl, Madinah, Mekah hingga Jerusalem, Damsyik, Iraq dan Farsi (Iran).

Penuntut-penuntut mualim itu terdiri dari pemuda dan orang dewasa yang berusia dari 30 hingga 70 tahun. Ada juga penuntut-penuntut yang mengembara dan singgah belajar secara sambilan kepada mualim di masjid tersebut.

Peta kawasan dari Yaman ke Iran

Pada zaman itu ramai orang Islam cenderung belajar ilmu tasawuf dan tarekat, kerana ilmu-ilmu itu menjadi tiket bagi mereka yang hendak menjadi ahli sufi.

Sheikh Bulbul Yamani mula tinggal di sana bersama isterinya, Syedah Naimah dan anak lelakinya berusia tiga tahun. Si isteri sangat setia atau taat kepada suaminya. Apa sahaja di lakukan oleh suaminya, sama ada ke atas dirinya mahupun kepada orang lain tidak dibantahnya.

Dari hari ke hari dan bulan ke bulan, Sheikh Bulbul Yamani mempunyai wang yang banyak. Pendeknya dia seorang mualim yang kaya dari hasil sumbangan orang ramai yang meminati atau cenderung kepada ilmu tasawuf dan amalan tarekat.

Dia telah mengambil kesempatan dari orang-orang yang mengabdikan diri kepada Tuhan. Masjid digunakan sebagai lukah yang ditahan di pergentingan.

Anak lelaki mualim itu, Qais, sejak kecil lagi memerhati akan usaha kebajikan yang dilakukan oleh bapanya. Tetapi dia tidak mengetahui usaha awal bapanya sebelum masjid itu dibina, kerana pada masa itu dia masih kecil. Dia telah mengetahui kisah bapanya dari ibunya.

Ibu Qais telah meninggal dunia pada masa usianya sembilan tahun. Biasanya, kanak-kanak berusia sembilan tahun telah memahami segala masalah, di sekeliling ibu dan bapanya.

Si anak telah belajar pengetahuan agama Islam dari bapanya. Pendeknya pada usianya 20 tahun, dia telah menjadi seorang alim dan mampu membantu bapanya mengajar di masjid itu.

Pada satu malam, si anak memhon kepada bapanya untuk melanjutkan pelajaran ke Kufah, Iraq. Dia telah mendapat tahu, di sana ramai orang alim yang bertaraf wali Allah.

“Ngapa tak cukup dengan ilmu yang ayah ajar kepada kamu, Qais?” Tanya sang bapa.

“Cukup ayah, lebih dari cukup … ,tetapi saya ingin menambah ilmu lagi, biar jadi alim besar, jadi wali Allah,”jawab si anak.

Sheikh Bulbul Yamani telah memberi keizinan kepada anaknya mengembara untuk melanjutkan pengetahuannya ke Kufah. Dia telah menghadiah seekor kuda padi kepada anak.

Qais meninggalkan bapanya dan menunggang kuda padi mengikuti jalan tepi laut arah ke madinah. Dalam perjalanan itu dia berhasrat untuk menjadi orang alim seperti bapanya. Bapanya banyak pengetahuan, ramai penuntut dan kaya.

Qais tidak pergi ke Kufah. Dia yakin dirinya telah banyak pengetahuan. Cukup menjadi seorang alim, ramai penuntut dan kaya. Dia tidak meneruskan perjalanannya ke Kufah. Dan dia tiak mahu melanjutkan pelajarannya lagi.

Di suatu tempat, di tepi jalan tempat lalu lalang para pedagang dan pengembara, dalam kawasan Bali dan Tabok, iaitu di hujung teluk Laut Merah. Qais telah mendirikan sebuah khemah untuk tempat tinggalnya.

Pada hari yang kedua Qais tinggal di situ, dia telah menambak pasir di tepi jalan untuk dijadikan sebuah pusara. Setelah pusara itu siap, dengan pakaian yang biasa dipakai oleh orang-orang Arab di kampung-kampung, dia duduk di sisi pusara itu dan menangis sambil menadah tangan dan berwirid nama Tuhan.

Setiap pedagang dan pengembara yang lalu lalang di jalan yang panjang itu, apabila tiba di tempat Qais. Mereka berhenti dan dengan peraaan sedih mereka telah bertanya kepadanya tentang mengapa dia menangisi di sisi pusara yang baru itu.

“Inna lillahi wa inna ilahi rajiun, bapa saya telah mati …, ini pusara dia …, saya sangat sedih Tuan,” jawab Qais kepada mereka.

Sesuai dengan sikap atau amalan orang mukmin yang suka menolong orang dalam kesusahan dan kesedihan, maka mereka telah menyedekah wang kepadanya.

Wang yang disedekahkan kepada Qais kian banyak. Dengan itu dia boleh membina sebuah masjid. Di masjid itu Qais telah mengajar ilmu tasawuf dan tarekat kepada orang-orang yang singgah di masjid itu.

Setiap orang yang singgah sembahyang dan belajar kepada Qais telah menghulurkan wang sebagai hadiah atau khairat kepada Qais.

Beberapa lama kemudian, di sekitar masjid itu didirikan oleh Qais pondok atau pensantren untuk tempat tinggal penunut-penuntutnya.

Qais menjadi seorang yang alim, kaya dan namanya masyhur ke sekitar Hijaz, Jerusalem. Kerana tujuan tertentu, Qais tidak menggunakan nama asalnya lagi. Dia menggunakan namanya sebagai Sheikh Abu Jazirah.

Kisah mualim Sheikh Abu Jazirah yang masyhur itu disampaikan oleh para pedagang dan pengembara kepada Sheikh Bulbul Yamani. Ada yang memberitahu kepadanya, bahawa Sheikh Abu Jazirah lebih masyhur daripadanya.

Sheikh Bulbul Yamani amat ingin bertemu dengan mualim yang masyhur itu. Pada satu malam dia telah tiba di masjid Abu Jazirah. Sebaik-baik sahaja dia masuk ke dalam masjid itu, dia melihat ramai orang sedang berhimpun dan menghadapi guru mereka yang sedang mengajar.

Dari sebalik pintu masjid itu, Sheikh Bulbul Yamani melihat kepada mualim yang sedang mengajar itu. Dia terpegun sejenak. Degup jantungnya kencang, kerana mualim yang sedang mengajar itu adalah anaknya, Qais.

Sebaik-baik sahaja Sheikh Abu Jazirah selesai mengjar dan penuntut-penuntut telah meninggalkan masjid itu, maka Sheikh Bulbul Yamani masuk menemui anaknya.

Dua beranak itu berpelukan. Masing-masaing mengalir air mata kerana telah lama tidak berjumpa.

“Macam mana Qais boleh jadi macam ni, ramai orang yang belajar, masjid besar pula…?” Sheikh Bulmul Yamani bertanya kepada anaknya.

“Alhamdulillah, rezeki Allah, ayah,” jawab Qais’

“Ialah, tapi …, ayah hairan juga,” sambut bapanya.

“Anak bapa …,” sambut Qais pula.

“Mengapa Qais kata begitu?’ Tanya Sheikh bulbul Yamani.

“Qais anak bapa, Qaid tiru macam bapa…,” jawab Qais.

“Macam mana tu?”Tanya Sheikh Bulbul lagi.

“Qais tiru bapa …, emak ada beritahu, dulu …, sebelum ayah bina masjid, ayah jadi kaya …, ayah bina kubur tepi jalan, ayah menangis sambil wirid nama Allah tepi kubur itu,” jawab Qais .

Sheikh Bulbul Yamani diam. Perasaan malu kepada anaknya menyelubungi dirinya.

“Orang-orang yang datang tanya kepada bapa, kubur siapa, ayah jawab kubur atuk …,” kata Qais sembil memeluk bapanya.

“Orang Arab tanya, ayah jawab, kubur atuk,”kata Qais.

“Orang Arab Mekah, Madinah, Palestin tanya, ayah jawab, kubur atuk,”kata Qais lagi.

“Masya Allah …,” suara Sheikh Bulbul Yamani.

“Qais menangis pun buat begitu juga …, Qais menangis …, Qais beritahu orang-orang yang datang, dalam kubur tu mayat ayah Qais …,” Qais memberitahu kepada bapanya.

“Anak bapa …,” kata Sheikh Bulbul Yamani dalam pelukan anaknya

Saturday, March 6, 2010

PENULIS



SAYUTI OMAR


PENULIS BERANI HIDUP



Mohd Sayuti Omar

Sayuti Omar
Pada masa Dato' Seri Anwar Ibrahim berjawatan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Malaysia, pada satu pagi penulis politik, Mohd. Sayuti Omar bertengkar dengan beliau, di tangga Dewan Palimen dan lebih 30 orang termasuk wakil - wakil rakyat turut menyaksi drama politikus dengan penulis itu.
"Dia penulis berani ..., lawan TPM ...,"kata seorang politikus dasri Sabah.
Saya yang turut menonton drama sebabak, di tangga gedung penggubal undang - undang negara itu, turut mengakui. " ...penulis berani, kalau berkeris Hang Jebatlah dia ...," kata saya.
Sayuti Omar berasal dari Rantau Panjang, Kelantan.
Lepasan insdtitut pengajian tinggi agama Islam/ kewartawanan, di Indonesia,
dia mnenceburkan diri dalam bidang kewartawanan
dan menyertai Al Arqam.Dia rapat dengan ketua gerakan
tersenbu, Ustaz Ashaari Muhammad. Ksamudian
dia meninggalkan gerakan itu dan bekerja sendiri
sebagai penyelidik dan penulis buku politik semasa.
Selama beberapa bulan, Sayuti Omar telah memikul tugas sebagai editor surat khabar Mingguan Islam.

Dia telah beberapa kali mengembara ke beberapa negara di dunia. Dia melihat dan mempelajari segala peristiwa di sana.

Saya sering menemuinya dan bebincang dengan mengenai beberap perkara yang berlaku dalam negara dan luar negera, tetapi saya tidak dapat menyelam hatinya; kemana hala tuju politiknya. Kadang - kadang dia bercakap seperti orang PAS dan ada kalanya sebagai orang parti kebangsaan dan parti sosilis.

Sayuti paling rapat dengan Menteri Besar Kelantan
merangkap Mursyidul 'Am PAS, Dato' Nik Abdul Aziz. Kadang -
kadang dia berbincang masalah politik dengan tokoh polikus Islam itu.


Dia juga rapat dengan anggota Exco kanan Kerajana Kelantan, Dato' Husam Musa.

Saya kira, Sayuti Omar seorang yang berani hidup dengan mencari makan dan menanggung keluarganya dengan bergantung kepada kerja menulis. Siang malam dia menulis. Kerana terlalu lama duduk di atas kerusi dan mengahadapi meja tulis, dia telah didera sakit gaut.

Surat khabar 'Mingguan Siasah' adalah milik syarikatnya sendiri. Media tersebut menjadi padang tempat dia menendang dan menyepak bola fikirannya kepada orang ramai. Mengkritik dan mengecam segala yang tidak benar. Dia mencari kebenaran, kerana baginya kebenaran adalah warna kehidupannya.

"berkata benar, walaupun pahit ...,"katanya meminjam Hadis Nabi Muhammad sallalallahu alaihi wasallam.

Dengan menulis buku2, dia memapu menanggung keluarganya, memiliki kenderaan
buatan Jepun dan makan minum dalam coffee house.
Sayuti telah menulis banyak buku politik dan diterbitkan
oleh syarikatnya sendiri, iaitu, Tinta Merah.


Di antara buku - buku politik yang ditulisnya, ialah: Tradisi Dan Targedi Dalam Perhimpunan UMNO 1993 (1993), Siapa Ketua Pemuda UMNO Ke 10 (1993), Siapa Pencabar Anwar (1998), Undurkah Mahathir Dlema Dollah Badawi ( 2003) dan Perang Salin - Najib - Anwar (2008).

Seorang tokoh PAS Kelantan, berkata kepada saya, "Kalau Sayuti masuk PAS, dia bertanding dalam kawasan Dewan Parlimen atau Dewan Negeri di Kelantan, dah tentu dia menang."
Kadang - kadang saya melihat Sayuti Omar telah terbawa - bawa kearah dunia sufi dan menjadi ahli sufi dan falsafah.
Kegemaran, membela kucing. Dia lebih meminti kucing - kucing daripada gadis - gadis yang ditemuinya.
Di kalangan beratus orang wartawan dan penulis di negara ini, saya kira Sayuti Omar paling berani menghadapi hidup dan cabaran semasa. - mokhtar petah

Friday, March 5, 2010

KHUTBAH JUMAAT


PENYALAHGUNA KUASA, PENGAMAL RASUAH

PENGKHIANAT SATU MALAYSIA

(05 MAC 2010 / 19 RABIUL AWWAL 1431)

Saya mengingatkan diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu wa Taala dengan cara melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya di samping berusaha mencari kehidupan yang diberkati dan diredhai dengan berbekalkan sumber rezeki halal. Mudah-mudahan kita berjaya menjadi insan yang beruntung di dunia dan akhirat.

Sempena dengan sambutan ulangtahun sulung penubuhan suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia – SPRM -, yang disambut pada 24 Februari 2010 lalu, mimbar Jumaat pada hari ini akan memperkatakan khutbah mengenai tajuk: Penyalahguna Kuasa, Pengamal Rasuah Pengkhianat Satu Malaysia’.

Umat Islam secara fitrahnya adalah terpelihara darah dan harta mereka. Oleh itu, apa-apa juga perkara yang mempunyai unsur khianat terhadapnya adalah dianggap melakukan perbuatan jenayah. Bahkan wajib diperangi ke atas orang yang melakukan kezaliman kepada hak harta dan darah orang lain tanpa sebarang alasan yang dibenarkan syarak. Berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah, lazimnya tabiat memakan harta secara salah, memberi rasuah atau menerima rasuah serta menzalimi hak orang lain dilakukan untuk kepentingan diri, keluarga dan puak tertentu.

Ini ditegaskan oleh Allah Subhanahu wa Taala dalam surah al-Baqarah: 188:

Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Apa yang menakutkan lagi, orang yang melakukan perbuatan rasuah, menzalimi orang lain, mendatangkan kerosakan dan kemusnahan pihak lain mendapat laknat Allah Subhanahu wa Taala dengan azab yang sangat keras. Abdullah bin Umar r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

Sesiapa yang mengambil tanah tanpa haknya, maka dia akan ditenggelamkan dengan tanahnya pada hari kiamat sehingga ke dasar tujuh lapisan bumi.

-- Riwayat Bukhari)

Penjenayah rasuah yang pelbagai latarbelakang ini membawa imej negatif terhadap kebersihan dan ketelusan perkhidmatan negara. Menurut statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2009, sebanyak 500 tangkapan telah dibuat atas kesalahan jenayah rasuah. Daripada jumlah ini di dapati seramai 191 orang atau 38.2 peratus adalah penjawat awam dan seramai 180 orang atau 38 peratus adalah orang awam. Manakala selebihnya ahli-ahli politik, anggota pentadbiran, kakitangan swasta dan lain-lain.

Bagaimana pun apa yang membimbangkan kita kini ialah bilangan orang awam yang terlibat rasuah semakin meningkat. Sekiranya penjawat awam dan masyarakat bersikap tidak peduli, maka dikhuatiri akan mengancam kestabilan politik, ekonomi dan keselamatan negara. Malah para pelabur asing akan lari kerana bimbang diburu oleh pengamal rasuah dan penyalahguna kuasa ini. Apatahlagi pada masa ini tersebar dakwaan jahat media asing tentang amalan rasuah di negara ini yang semakin membimbangkan pelabur.

Justeru, Islam menggalakkan umatnya bekerja kuat dan mengumpul kekayaan secara halal dengan kudrat dan kemampuan yang ada. Hasil titik peluh yang halal menjadikan jiwa kita sihat dan mempengaruhi personaliti diri. Jangan sesekali kita cemarinya dengan sesuatu yang haram, kotor dan makruh kerana ia menjadikan jiwa tidak tenteram, gelisah, diburu ketakutan dan menyalahi titah perintah Allah Subhanahu wa Taala.

Dalam sebuah hadith Rasulullah s.a.w. ada menceritakan kisah seorang lelaki yang kusut masai berada dalam kesusahan berdoa kepada Allah tetapi Allah tidak memakbulkan doanya. Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairahهُ

Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik. Baginda kemudian menceritakan kisah seorang lelaki yang bermusafir, berambut kusut masai, berdebu, berdoa tidak henti-henti kepada Allah: Wahai tuhan! Wahai tuhan! Wahai tuhan! Sedangkan makanannya haram, minumannya juga haram, pakaian yang membaluti badannya juga haram serta perutnya di kenyangkan dengan sumber yang haram, maka bagaimana doanya boleh diterima.

- Riwayat: Imam Muslim

Berdasarkan hadith ini, jelas pengaruh pemakanan dan sumber pendapatan yang haram merosakkan kesempurnaan ibadah. Oleh itu, setiap muslim wajib membersihkan hartanya dari sebarang dosa agar doa dan ibadah diterima Allah.

Alangkah ruginya kita disebabkan perbuatan rasuah, ibadah menjadi sia-sia. Bahkan lebih malang lagi, menjauhkan kita daripada mendapat rahmat Allah SWT. Mimbar bimbang, jika kita tidak segera membanteras penyakit rasuah akan menyebabkan kita terdedah dengan pelbagai malapetaka dan bencana dalam kehidupan, akibat kemurkaan Allah. Renungilah firman Allah SWT dalam surah Ali Imran: 112:

Mereka ditimpa kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpa kemiskinan. Yang demikian itu, disebabkan mereka ingkar akan ayat-ayat Allah, dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas.

Berdasarkan petunjuk al-Qur’an dan as-Sunnah yang menjadi pegangan asasi kita, maka mimbar ingin mengingatkan bahawa pengamal rasuah, penyalahguna kuasa, pengkhianat amanah dan mereka yang bersyubahat dengan amalan rasuah adalah pengkhianat kepada agama, rakyat dan satu Malaysia.

Kita perlu ingat dan insaf, kadar celik huruf dan celik akal di kalangan rakyat negara ini semakin tinggi dan dapat membuat penilaian, pengukuran dengan waras tentang isu-isu rasuah di negara ini. Oleh itu, marilah kita bersama-sama mencermini diri dan berusaha untuk memerangi jenayah rasuah, mengheret ikan jerung dan bilis dalam negara kita demi melahirkan urus tadbir yang baik dalam perkhidmatan kerajaan mahu pun swasta. Ini selaras dengan tuntutan syarak dan hasrat kerajaan hak rakyat didahulukan dan prestasi menghapus rasuah di utamakan.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, maka mimbar sekali lagi mengingatkan bahawa mereka yang menolak amalan rasuah adalah manusia hebat dan cemerlang kerana:

Pertama : Menjamin kesinambungan nasab atau keturunannya kekal dalam keadaan insan yang beriman dan berintegriti;

Kedua : Meningkatkan martabat dan integriti organisasi serta warga pengurusan;

Ketiga : Meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pemimpin yang berani memerangi rasuah; dan

Keempat : Membuktikan bahawa amalan ibadah-ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, berzakat dan haji yang diamalkan telah berjaya mencegah dirinya terlibat dengan najis rasuah.

Oleh itu, marilah sama-sama kita meningkatkan integriti dan menunaikan amanah dengan penuh tanggungjawab menghapuskan rasuah. Semoga dengan itu, iman kita terus bertambah dan dapat memakmurkan bumi Allah dengan benih-benih kebaikan, serta menjadi golongan yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran seperti firman Allah dalam surah Ali Imran:

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang Berjaya

.- (Surah Ali Imran: 104).

(Khutbah Jumaat ini disediakan oleh Jabatran Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM)